Sunday, December 25, 2011

Akhbar Selangor Kini Diedar 150,000 Secara Percuma Seminggu

SHAH ALAM, 17 NOVEMBER : Permintaan hangat daripada rakyat Selangor terhadap naskhah mingguan Selangor Kini menyaksikan akhbar percuma kerajaan negeri itu mencapai sasaran 150,000 seminggu pada tahun ini dalam menyampaikan maklumat kepada rakyat berkenaan dasar-dasar kerajaan negeri.
Rekod menunjukkan peningkatan sebanyak 40,000 naskah berbanding tahun sebelumnya.
Penerbitan Selangor Kini adalah di bawah tanggungjawab anak syarikat Kerajaan Negeri, Communication Corporation Sdn Bhd (CCSB).
Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, pentadbiran dan urus kelola Selangor Kini hanya melibatkan tujuh kekuatan tenaga kerja dengan kos RM207,000 setahun.
“Sehingga bulan Oktober 2011, naskhah Selangorkini berjaya dikeluarkan oleh CCSB dengan perbelanjaan RM2,676,000 untuk 40 edisi Selangorkini dengan jumlah 150,000 naskah seminggu.
“Manakala pada tahun 2010, edisi Selangor Kini dengan jumlah 110,000 naskah setiap keluaran mingguannya dan diterbitkan dengan kos RM1,926,250 untuk biaya penerbitan dan pengedaran,”katanya.
Abdul Khalid berkata demikian ketika menjawap pertanyaan lisan daripada Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh di Sidang DUN.
Mengulas lanjut, Abdul Khalid menjelaskan sebagai langkah penjimatan kos pengurusan, Selangor Kini menggunakan khidmat unit grafik CCSB selain menolong pasukan editorial TVSelangor yang juga di bawah pengurusan CCSB.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...