Anak adalah amanah Allah yang sangat besar dan berat untuk dipikul oleh kedua ibu bapa. Bukan mudah untuk memastikan anak-anak kita menjadi insan yang berguna dalam zaman serba moden, serba kecanggihan teknologi ini. Banyak rintangan yang perlu dihadapi untuk memastikan anak kita menjadi insan yang bertaqwa. Ramai ibu bapa di luar sana yang gagal mendidik anak mereka menjadi manusia yang mempunyai akhlak yang baik. Contoh yang dapat kita lihat, ibu bertudung dan menutup aurat, tetapi anaknya membuka aurat dengan memperagakan pakaian yang ketat sehingga menampakkan bentuk tubuh mereka. Si ayah pula berkopiah dan sentiasa menunaikan solat di masjid, tetapi anaknya memakai seluar pendek dan tidak pernah sama sekali melakukan solat. Semua perbuatan yang menyalahi prinsip Islam ini tidak pernah ditegur oleh kedua ibu bapa mereka. Malah ibu bapa mereka memberi alasan bahawa anak mereka sudah besar, bukan masanya untuk menegur dan mereka sendiri sudah tahu yang mana baik dan yang mana buruk.
Ibu bapa seperti inilah yang lemah dan tidak mampu untuk melaksanakan segala amanah yang diberikan oleh Allah kepada mereka. Segala kesalahan mereka terhadap anak mereka akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak nanti. Hal ini bertepatan dengan sebuah hadis Rasulullah saw yang bermaksud :
“Sesungguhnya Allah akan bertanya kepada setiap penanggungjawab akan tanggungjawabnya, apakah mereka telah memeliharanya atau mensia-siakannya.” (Riwayat Ibnu Hibban)
Sering kita dengari di dalam media masa yang menceritakan tentang berlakunya kes-kes penderaan kepada anak-anak yang sangat membarah di dalam masyarakat negara ini. Hari demi hari ada sahaja berita yang melibatkan penderaan dan pembuangan bayi. Mana perginya sifat keperimanusiaan dan sifat belas kasihan. Sangat menyayat hati tragedi yang menimpa arwah adik Syafiah Humairah Sahari, didera oleh teman lelaki ibunya sehingga mati.
Begitu juga kes kehilangan arwah adik Nurin Jazlin Jazimin yang hilang ketika keluar seorang diri ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju. Kemudian mayatnya ditemui dalam sebuah beg pakaian sukan pada 17 September 2007 iaitu 27 hari selepas kehilangannya. Sehingga hari ini, penjenayah yang bertanggungjawab masih belum berjaya dikesan.
Beginilah apabila manusia tidak lagi memiliki iman dan tidak takut lagi dengan kekuasaan Allah, mereka akan lakukan apa sahaja mengikut nafsu amarah mereka tanpa mengira dosa dan pahala. Perbuatan seperti ini juga boleh dikatakan seperti perangai binatang yang hanya mementingkan dirinya sendiri.
Untuk melaksanakan amanah ini seperti mana yang dipertanggungjawabkan oleh Allah swt, maka ibu bapa perlulah bersedia dari segi jasmani dan rohani seperti melengkapkan diri masing-masing dengan pengetahuan agama yang baik dan mengamalkan cara hidup Islam di dalam keluarga. Dari segala pengetahuan penghayatan agama yang ada di dalam diri kedua ibu bapa, maka curahkanlah segalanya kepada anak-anak supaya mereka dapat menjauhkan diri mereka dari segala anasir-anasir jahat yang sentiasa berusaha untuk merosakkan akidah dan iman mereka. Cara ini mampu melahirkan jenerasi Rabbaniah yang mempunyai jati diri yang kuat dan tidak tergugat apabila ia memasuki mana-mana kelompok masyarakat.
Alangkah baiknya kalau anak tersebut menjadi manusia yang berguna dan taat kepada Allah, dia akan menjadi harta yang sangat tidak ternilai berbandingkan dengan harta dunia yang lain, kerana anak yang soleh akan membantu ibu bapanya untuk masuk ke syurga Allah.
Al-Afnaf Bin Qias menjawab apabila Khalifah Muawiyah bertanya kepadanya tentang anak :
“Wahai Amirul Mukminin! Adapun anak itu ialah buah hati kita, tulang belakang kita. Kita ini adalah bumi yang lebar tampanya berpijak, langit tempat mereka berlindung teduh dan bernaung dari kerananyalah berani kita menempuh kesukaran bagaimana sulit. Dari itu bila mereka meminta, berikan, bila mereka kecewa, senangkan hatinya agar di balasinya dengan cinta pula dan hargainya kepayahan kita.”
No comments:
Post a Comment