Mengapa orang sekarang lebih banyak yang mengalami gangguan jiwa daripada orang dulu? Sedangkan orang sekarang, boleh dikatakan mereka sudah memiliki harta yang banyak. Ada yang mengatakan mereka sudah memiliki segala-galanya, namun jiwa masih terasa kosong.
Apakah yang dikatakan penyakit jiwa?
Penyakit jiwa adalah satu istilah yang merangkumi gangguan-gangguan jiwa yang mengakibatkan perubahan ragam, tingkah laku dan pemikiran seseorang. Perkataan ‘gila’ adalah satu ungkapan hodoh dan tidak sesuai digunakan untuk pesakit-pesakit jiwa dan memberi gambaran seorang yang ganas dan merbahaya. Walhal keganasan lebih kerap dilakukan oleh orang mabuk jika dibandingkan dengan pesakit jiwa.
Kita semua mempunyai gangguan emosi dalam menjalani liku-liku hidup ini tetapi mampu mengatasinya mengikut arus masa. Kerana beberapa sebab tertentu sebilangan daripada kita tidak mampu berbuat demikian dan ini akan memberi kesan terhadap kefungsian sosial di tempat kerja atau di rumah. Jika ini berlanjutan, golongan ini memerlukan bantuan dan mungkin menghidapi sejenis penyakit jiwa.
Apakah yang menyebabkan perkara sebegini berlaku?
Lazimnya tidak ada suatu punca khusus yang menyebabkan penyakit jiwa. Biasanya sebab-sebab penyakit ini berpelbagai dan saling berkaitan. Antara lain mungkin :
1. Sebab-sebab fizikal
Contoh-contoh termasuk meminum terlalu banyak arak, salah guna naji dadah, kemalangan dan ketidakseimbangan biokimia dalam otak kita.
2. Keturunan
Sebahagian penyakit jiwa mungkin diwarisi misalnya; terdapat 1:100 peluang untuk mengidap penyakit skizofrenia dalam masyarakat umum dibandingkan dengan nisbah 1:10 peluang jika salah seorang daripada orang tua anda mempunyai skizofrenia.
Apakah jenis-jenis penyakit jiwa?
Terdapat beberapa jenis penyakit jiwa dengan kelangsungan masing-masing. Ada yang boleh sembuh seperti sediakala dan ada yang memerlukan rawatan sepanjang hayat.
1. Kegelisahan (Neurosis)
Rasa mudah naik darah, tidak boleh menumpukan perhatian, tidak dapat tidur, merasa takut atau fobia, resah, gentar, sejuk tangan dan gejala-gejala badan yang lain.
2. Penyakit kepiluan (Depression)
Kadangkala kita merasa sedih, tidak berminat dalam aktiviti-aktiviti biasa, merasa lemah, sukar tidur dan tidak lalu makan, menangis tanpa sebab dan mungkin menyimpan rasa hendak bunuh diri terutama apabila mengalami kegagalan yang teruk atau kehilangan (misalnya kematian orang yang disayangi).
Jika ini berlaku keterlaluan atau muncul tanpa sebab dan memberi kesan terhadap kefungsian harian kita, kita memerlukan bantuan.
3. Psikosis
Ini merupakan yang paling teruk. Walaubagaimanapun ianya jarang berlaku jika dibandingkan dengan jenis-jenis penyakit jiwa yang lain. Dalam kes ini, pesakit hilang perhubungan dengan alam nyata dan hidup di dalam alamnya yang tersendiri serta berkelakuan ganjil. Misalnya, dia mungkin mempunyai kepercayaan-kepercayaan yang tidak berasas, mendengar suara-suara yang tidak wujud, bersikap mundur atau bertutur tidak menentu. Biasanya pesakit tidak sedar bahawa dia sakit dan tidak mungkin mencari bantuan secara persendirian.
Apakah yang harus dilakukan jika kita mempunyai tanda-tanda masalah jiwa/emosi?
Pertama, hadapilah sendiri masalah berkenaan, cuba cari puncanya. Jika ianya masalah yang dapat diatasi sendiri, teruskan.
Jika tidak, jangan merasa malu. Dapatkan pertolongan daripada seseorang yang sanggup mendengar seperti rakan, ahli keluarga, ahli agama atau perunding cara. Dengan meluahkan masalah sudah dapat mengurangkan sebahagian bebannya.
Jika ini gagal atau anda merasakan bahawa masalah berkenaan adalah di luar keupayaan anda, mungkin doktor keluarga nada boleh membantu. Jika dia merasa bahawa anda memerlukan bantuan lanjut anda mungkin akan dirujuk kepada Pakar Sakit Jiwa di hospital-hospital berdekatan dengan tempat tingga anda. Rawatan mungkin di dalam bentuk kaunseling, terapi rundingan, pengubatan, terapi gerakan elektrik atau tinggal buat seketika di hospital sehingga tanda-tanda sakit beransur hilang.
Masalah jiwa menurut Islam
Menurut ustaz Zahazan Mohamed, Imam Muhammad Mutawalli Asy-Sya’rawi menjelaskan dalam kitab beliau Anta Tas’alu wa Islaamu Yujiibu seperti berikut: “Orang beriman menghadapi tiap persoalan kehidupan dunia dengan memohon pertolongan Allah dan bertawakal kepada-Nya. Apabila ia gagal mencapai apa yang dicita-cita, ia tidak susah hati dan bersedih meskipun ia sedar bahawa kegagalan itu adalah kerana persediaan yang kurang sempurna.”
Orang yang tidak beriman bergantung nasib dalam usahanya kepada kesempurnaan persediaan. Apabila gagal, dia gelisah, fikirannya terganggu, hatinya risau, takut yang menyebabkan sakit jiwa dan akhirnya bunuh diri. Keadaan seperti ini banyak kita jumpa di negara maju bukan Islam. Negara seperti ini ramai rakyatnya terkena gangguan jiwa.
Lalu orang pun bertanya mengapakah di negara maju berlaku ramai yang menghidap gangguan jiwa? Bukankah yang sepatutnya kena adalah masyarakat di negara yang sedang berkembang atau negara yang mundur?
Mereka iaitu orang yang mengabdikan diri dengan ilmu pengetahuan dan membuang agama dari diri. Apabila keimanan lenyap dari jiwa manusia, akan lenyaplah ketenangan, ketenteraman, kebahagiaan dan rasa reda.
Apabila jiwa kosong dari iman, lalu ia terjun ke dalam perjuangan hidup untuk memiliki kekuasaan dan ia gagal, maka mudah saja ia terkena gangguan jiwa dan menjadi gila. Seorang Muslim yang tidak memiliki iman yang kuat, mudah terkena penyakit itu. Dalam kesibukannya ia lupa kepada Allah SWT lalu Allah SWT pun melupakannya.
Yang dikerjakan dan diusahakannya hanyalah mengumpul harta dan hidup mewah. Apabila lupa itu dibiar berlarutan tanpa cuba diatasi, ia akan membawa kepada kufur akan nikmat Allah, lalu ia akan lupa diri, hilang kebahagiaan atau mudah sakit jiwa.
Amal doa pagi dan petang untuk mengatasi masalah jiwa
Rasulullah SAW menyuruh umatnya agar mengamalkan doa pagi dan petang bagi mengatasi masalah jiwa, antaranya seperti diriwayatkan oleh Abu Daud, daripada Abu Sa’id al-Khudri r.a iaitu: “Allahumma inni a’uzubika minal hammi walhazan. Wa’a’uzubika minal ‘ajzi wal kasal wa’a’uzubika minal jubni wal bukhli, wa ‘a’uzubika min ghalabatid daini waqahrir rijaal (yang bermaksud: Ya Allah aku berlindung kepada-Mu daripada rundungan sedih dan duka. Aku berlindung kepada-Mu dari sifat lemah dan malas. Aku berlindung kepada-Mu daripada sifat pengecut dan kedekut. Aku berlindung kepada-Mu dari beban hutang dan penindasan orang).”
Kedua, hendaklah mendekati al-Quran dengan membaca, memahami dan berusaha mengamalkannyadalam kehidupan nescaya anda akan menemui kebahagiaan bukan saja di dunia tetapi juga di akhirat.
Al-Quran adalah penyembuh yang paling berkesan mengubat penyakit jiwa seperti firman-Nya dalam surah Yunus ayat 57 yang bermaksud : “Wahai umat manusia! Sesungguhnya sudah datang kepada kamu al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang yang beriman.”
No comments:
Post a Comment