Tuesday, June 21, 2011

Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS)

Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) telah ditubuhkan mengikut Akta 29 Jadual Kedua, Akta Majlis Sukan Negara Malaysia 1971. Majlis ketika itu bernaung di bawah Kerajaan Negeri dan ditadbir oleh kakitangan yang dipinjamkan dari jabatan–jabatan Kerajaan Negeri dan mendapat geran tetap daripada Kerajaan Negeri Selangor. Majlis telah terus berkembang dan pada tahun 1986 Majlis telah menyusun semua perjawatannya dengan menambah bilangan kakitangannya.


Mesyuarat Jawatankuasa Pengurus MSNS Bil. 3/91 bertarikh 27hb Ogos 1991 yang di pengerusikan oleh YAB Dato’ Menteri Besar selaku Pengerusi Majlis Sukan Negeri Selangor ketika itu telah bersetuju supaya MSNS ditadbir secara swasta atau diswastakan dengan tiada geran atau peruntukan tetap Kerajaan Negeri Selangor tetapi menjana pendapatan melalui beberapa projek penswastaan.

MSNS Holdings Sendirian Berhad telah ditubuhkan pada tahun 1991 dan telah mula beroperasi pada tahun 1995 sebagai satu cabang pelaburan Majlis Sukan Negeri Selangor.


Matlamat utama penubuhan adalah untuk menjana perolehan bagi membantu sumber kewangan Majlis. Selain MSNS Holdings Sendirian Berhad yang bertindak sebagai badan perancang korporat, Majlis juga telah menubuhkan sebuah lagi syarikat iaitu MSNS Sports Management Sendirian Berhad untuk menyalurkan perniagaan.


Beberapa anak syarikat kemudian telah ditubuhkan dalam usaha merealisasikan peranannya antaranya, MSNS Sport Care (M) Sendirian Berhad dan MSNS KC Event Sendirian Berhad (MSNS Facilities Management Sendirian Berhad).


Usahasama beberapa syarikat juga telah diadakan dan antaranya MSNS Emico Industries Sendirian Berhad dan MSNS MMC Media Sendirian Berhad.


Majlis terus berkembang membangunkan kemudahan sukan dan pembangunan atlit serta pelaburan perniagaan anak–anak syarikat dan sesuai dengan perkembangan itu, Majlis sekali lagi telah menyusun semula organisasi mulai 1994 dan ianya digunapakai sehingga 2000.


Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri ( MMK ) melalui Kertas MMK No. 35/1/2000 yang bersidang pada 5hb Januari 2000 telah bersetuju supaya MSNS disusun semula seterusnya ditukar status kepada Badan Berkanun Negeri. Mulai Januari 2005 pengurusan Majlis akan melaksanakan dan menggunapakai Skim Saraan Malaysia (SSM) sebagai asas panduan pengurusan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...